Sunday, 13 January 2013

Marry Your Daughter 13 - Rinsya



BAB 13
ORANG ada cakap masa kita tengah bertunang ni darah manis sangat sampai semut pun takut nak hurung! Boleh pakai ke teori tu. Hello? Ni zaman bila kena pakai darah manis semua tu, tapi sebab teori gila tu juga Iadid nak anjak tarikh kahwin ke depan. Yang mana sebenarnya AR belum bersedia memikul tanggungjawab untuk menjadi isteri. Isteri tu doe. Bukan adik angkat atau kekasih angkat tetapi isteri!
“Anak abah tak reti lagi nak masak padahal sikit masa lagi nak jadi isteri.”
Terasa gugur jantung AR mendengar suara Encik Hamid yang tiba-tiba aje masuk ke dapur sewaktu dia sedang membuat cupcake.
“Lama lagilah abah… Rilek-rilek, chill…” hampir hilang rentak suara AR keluar dari tekak. Segan punya pasal sebab selama ni tak pernah terfikir olehnya Encik Hamid, abah… akan mengungkit pasal Adnin Rania yang nak kahwin tu. Pijar terasa di pipi menahan segan yang mencuit hati.
“La mana boleh rilek Ad, nak kahwin tu bukan main-main lagi-lagi lelaki seperti Iadid tu, perlukan seorang isteri yang mahir masak tau?”
Ye ke? AR dah tunjuk muka cemas. Cuak mendengar kata-kata abahnya walaupun di bibir tersungging sebuah senyuman tidak bergula, masih mahu menyembunyikan perasaannya gementarnya daripada abah tercinta!
“Dia tu umur dah berapa Ad, bukan nak kahwin main-main tapi mencari isteri yang boleh dijadikan tempat bersandar seperti abah bersandar pada ibu Ad. Dia memang tak cakap dengan Ad tapi tak perlu nak cakap Ad sendiri kena sedar tanggungjawab yang bakal Ad pikul. Belajar masak sebelum kahwin tu penting. Ha ni kuih ni dah siap ke?” soal Encik Hamid sambil memegang satu persatu cupcake yang pelbagai bentuk dan hiasan di atasnya penuh minat.
“Ha? Ah, dah siap.. Makanla…” AR jawab tanpa semangat.
Baik punya abah dia pergi psiko anak sendiri sampai AR pun dah rasa macam nak jatuh demam aje. Memang Adnin Rania takde masalah nak masak yang simple-simple sebab hari tu pun dia ada masak bila Iadid datang ke rumah tapi kalau nak masak macam isteri Encik Hamid punya ‘rasa’ masih dalam peringkat cukup-cukup nak gagal je tu. Pasal tu jugak Encik Hamid selalu banding-bandingkan rasa masakan AR dengan isterinya walau hakikat sebenar masakan AR tidaklah seteruk mana!
Boleh ke dia menjadi seorang isteri yang baik dan memenuhi cita rasa Iadid nanti? AR tertanya-tanya dengan diri sendiri. Sebenarnya tak banyak pun yang dia harapkan bila dah kahwin dengan Iadid nanti. Sekurang-kurangnya Iadid berbangga beristerikan AR dan bahagia hidup dengannya itu aje sudah lebih dari mencukupi!
Tapi bila difikir-fikir rasa nak sekeh-sekeh je kepala Iadid, saper suruh Iadid buat kerja gila minta dikahwinkan dalam masa tiga bulan. Tengok apa jadi? AR masih lagi baru nak belajar resepi masak sayur doeeeeee… Terbayang-bayang di ruang kepala AR nak masak daging kambing special untuk Iadid hancur begitu saja.
Bala!



BEG disangkut di bawah meja apabila sampai aje ke mejanya. AR terduduk sambil membuka fail-fail yang ada di atas meja. Petang nanti nak kena jalan dengan Iadid cari baju nikah ekspres, cari cincin dan hantaran. Urusan pelamin dan kenduri insyaALLAH Encik Hamid sekeluarga dan Iadid sekeluarga yang uruskan yang penting AR tak nak campur tangan. Take a revenge kepada Iadid sebab paksa kahwin cepat-cepat padahal dulu pernah aje si Iadid berjanji setahun bertunang baru nikah tapi ni dah reduce angka jadi tiga bulan!
Bila di pejabat ni pula, yang lain duk sibuk sokseksoksek bergosip sampai AR pun jadi bengang. Adakah cakap kat Adnin Rania pasal cara-cara memikat suami? Kalau cara yang baik takpe tapi diaorang kasi cadangan yang super mengarut sampai AR rimas sendiri.
“AR, ada orang call kau kenapa tak angkat?” Hilman buat muka hairan memandang wajah AR yang blur memanjang hari ini. Hilman tahu AR nak kahwin tak lama lagi tapi patutnya gadis itu sekarang mempamerkan wajah berseri. Ke AR kena paksa kahwin macam dalam novel-novel Melayu tu?
AR terkedu sebentar sebelum menggelabah mencari telefon bimbit di dalam begnya. Jumpa!
Butang accept ditekan dan telefon dilekapkan di telinga.
“What?” sepatah aje keluar dari mulut AR kerana dia tahu si pemanggil ialah Iadidyadad yang merupakan encik tunangan merangkap bakal suami tak lama lagi dan sekarang ni otak AR tengah bercelaru jadi mood tak berapa nak baik untuk bergurau senda pun!
“Are you okay my dear?” soalan Iadid mencatu hati AR. Alamak, dia panggil my dear la… Wajah AR merona merah ala-ala segan gitu walaupun Iadid tiada di hadapannya. Hangat terasa menyapa jiwa. Jiwang karat sungguh si Iadid walhal hari tu cakap nak romantik lepas kahwin tapi ni belum kahwin dia dah bersayang-sayang.
“Okey je. Apasal call?” soal AR sambil berdehem kecil.
“Just want to tell you something.”
“Apa dia…” AR menyampuk. Kedengaran tawa di hujung suara Iadid. Sejak bila AR tak reti bersabar ni? Teringat kali pertama bertemu dengan saudari Adnin Rania yang sombong lagi kerek itu barulah Iadid tersedar memang AR dari dulu tak reti nak bersabar.
“Bulan depan saya pergi umrah, awak nak ikut?”
Brrr!
Uhuk! Uhuk!
AR menutup mulut menahan suara. “What?!”
“Saya pergi umrah. With your lovely daddy. Tak ikut ke?” soalan Iadid buat AR tercengang muat bola lisut ke mulut. Dia cakap nada main-main padahal AR dah terkejut separa nak mati.
“Apasal tiba-tiba nak umrah tak kasi tahu? Kenapa tak cakap abah pun nak ikut? Saya tak dapat ikut kalau bercuti tiba-tiba!” Nah kan AR dah naik suara. Iadid di hujung talian sudah menggelengkan kepala.
“Ad listen, pergi umrah tu kerja baik tau? Kenapa nak marah-marah?” soal Iadid lembut. AR gigit bibir. Masalahnya bukan marah ke tak tapi ni kira khianat tak kasi tahu awal. Tak tahu ke Iadid tu dia dah bertunang dengan Adnin Rania? Kecik hati Adnin bila Iadid tak beritahu awal-awal lagi. Bulan depan tu bukan lama mana pun dua tiga hari dah kira bulan depan.
“Let say saya pergi sebab abah awak suruh, awak tak marah kan?” Iadid mula rasa serba-salah. AR tengah marah boleh pula dia pergi lembing si AR dengan ayat dia yang maha sinis. Pergi-umrah-kerja-baik-kenapa-nak-marah. Tak berdarah ke hati AR mendengarnya?
“Okay fine. You go with my father and please take care of him.”
Talian dimatikan. Abah pun sama jahat macam Iadid, nak umrah tak kasi tahu awal-awal kenapa?
AR dah mula kesat air mata yang jatuh ke pipi. Iadid tak sensitif pun apa yang ada dihatinya. Tahu tak sekarang ni AR tengah berada dalam dilemma? Susah hati mengenangkan diri tak cukup sempurna untuk lelaki sebaik Iadid Arsyad. Baik ke Iadid Arsyad tu? Kalau baik takkan dia sanggup marah balik pada AR bila AR naik angin tadi, kan?
AR mengambil beg tangan dan berlari menuju ke luar. Nak jumpa dengan Iadid sekarang-sekarang ni jugak!



IADID call 15 kali, 15 kali juga AR tak angkat. Iadid jadi susah hati.
‘Angkatlah call,’
Iadid mesej buat kali yang entah ke berapa. Terasa sesak otaknya seketika. Segera lelaki itu mengambil kunci kereta dan terus menuju ke pintu utama rumahnya. Tak boleh tidak kena jumpa dengan Adnin sebab gadis tu bukan boleh agak pun apa yang dia akan lakukan nanti.
Apabila aje Iadid membuka pintu dia lihat kelibatan seorang gadis tengah bersandar di keretanya. Iadid membesarkan mata untuk melihat lebih jelas dan apabila dia sedar gadis itu bernama AR, dia terperanjat yang amat. Budak ni pun dah call tak angkat-angkat rupanya dia duk berdiri tepi kereta tu pula.
“Ad kenapa berdiri kat situ?”
“Sedih.”
Iadid berjalan mendekati AR. “Sedih ke? Sedih sebab saya pergi umrah? Bukan tak biasa tak berjumpa dua tiga minggu kan?”
Banyak cantik Iadid? AR julingkan mata.
“Sedih ada orang menipu,”
“La siapa pula yang tipu Ad?” Iadid mengerut dahi. Hampir-hampir keningnya bercantum mendengar aduan AR tersebut.
“Awak dengan abahlah siapa lagi?” AR cebikkan mulut.
“Bila masa saya tipu awak ni, Ad…” Iadid dah tergelak-gelak. Manja gila budak ni sikit benda pun tak boleh usik perasaan dia. Kalau Encik Iadid dah jadi suami Adnin Rania silalah bersabar banyak-banyak.
“Saya pergi umrah tak lama.”
Pujukkan Iadid tidak berbekas di hati. Iadid pun agaknya tak sayang dia sebab dia tak sebaik bekas tunangan Iadid dulu.
“Ad, saya bukan tak nak beritahu awak. Tapi abah awak tiba-tiba ajak saya pergi umrah beberapa hari yang lepas dan saya tak berkesempatan lagi nak beritahu awak. Asal nak beritahu aje mesti tak sampai hati sebab saya tahu awak akan marah macam ni.”
AR terdiam seketika. Matanya terarah ke wajah tenang Iadid. Tiba-tiba aje AR jadi sayu. “Saya ni kebudak-budakan, kan? Mesti awak malas nak melayan perangai saya yang entah apa-apa. Dah la saya tak pandai masak…”
“Pulak dah?” Iadid tenung wajah AR hairan yang maha.
“Come masuk kereta. Kita pergi tempat lain kat sini tak elok berbincang,” Iadid buka kunci kereta automatik dan terus membuka pintu kereta untuk AR. Nasib baik AR tidak banyak membantah.
“Saya ni manja sangat, kuat merajuk pula, mesti awak menyampah kat saya lepas ni kan?” soal AR sewaktu Iadid reverse kereta. Iadid pandang wajah AR sebentar. Cuba mencerna kata-kata AR yang tidak pernah dia dengar itu.
“I love you just the way you are. Tak kisah apa yang awak lakukan dan apa pun kelemahan awak, saya masih tetap sayangkan awak. Memang saya tak pernah ketemu Adnin Rania yang ni, saya ingatkan Adnin super cool sampai saya takut nak dekat. Tapi bila dah kenal sudut lain dalam diri awak, saya jadi sedar yang awak perlukan saya sebagai pelindung. Kalau awak menerima saya apa adanya, Ad, saya seribu kali menerima awak seadanya…”
Kata-kata Iadid menusuk hati AR yang paling dalam. AR tertunduk sendirian. Iadid menerima dia seadanya sudah cukup membuatkan dirinya lega. Perlahan dia melemparkan pandangan ke wajah tenang Iadid.
“Kalau awak pergi umrah awak tak akan lupakan saya kan? Awak tak akan berubah fikiran nak cari perempuan yang lebih baik daripada saya, kan?”
“We change together.”
“Maksud awak?”
“Kita jadi lebih baik bersama-sama. Saya tak akan sesekali meninggalkan awak sebab pada saya, saya adalah lelaki yang paling bertuah mendapatkan awak sebagai peneman hati.”
“Iadid kalau awak pergi umrah nanti, kalau saya pula yang lupakan awak bagaimana?” soal AR sengaja menguji. Berubah wajah Iadid mendengarnya. Jiwanya diserang satu perasaan ganjil. Dia berjauh hati!
“Awak nak lupakan saya ke?”

AR jeda. Tak la, saya tak akan lupakan awak sampai bila-bila pun… Saya sayangkan awak! Tapi ayat itu hanya tertinta dihati. Dia bukannya seperti Iadid yang mampu meluahkan kata-kata cinta dan kasih secara berterus-terang. Dia hanyalah seorang Adnin yang mempunyai perasaan segan yang menebal. 
Melihat Adnin tidak menjawab membuat Iadid resah sendiri namun ditelannya rasa hati kerana sedar yang Adnin masih berada dalam keadaan keliru. 
“Ad, awak ikut tak umrah nanti?” soal Iadid lembut.
“Saya tak pergi…” 
Sekali lagi Iadid terasa terpukul dengan kata-kata Adnin Rania. Wajahnya yang sengaja dimaniskan terus berubah menjadi keruh serta-merta. 
“Iadid awak hantar ke rumah saya aje, saya nak balik.” 
“Hmmm…”
Stereng kereta di pusingkan. AR telan air liur sendiri bila terasa ada aura tak sedap tiba-tiba. 
“Awak marah ke?”
Soalan AR dibiarkan tidak berjawab. AR kelu. Iadid merajuk ke? Iadid kecil hati? AR pandang wajah Iadid cuba mentafsir air muka tunangannya itu. 
“Iadid, saya janji yang saya tak akan melupakan awak… Tadi saya acah je. Maafkan saya okey?” 
Tapi Iadid tetap diam juga. AR gigit bibir tahan cuak. Iadid merajuk betul ke? Macam mana ni? Aku bukannya reti nak pujuk pun... Hati AR bertingkah sendiri.


p/s : Ni Moon yang tolong postkan sebab Kak Rin ada problem sikit nak postkan bab 13 ni. Enjoyyy! :D

Tuesday, 18 December 2012

Marry Your Daughter 12 ~ Moon



BAB 12
            SEJAK dari semalam AR serba tak kena. Nak tidur pun dia tak boleh! Betapa rimasnya fikiran dia apabila memikirkan soal Iadid. Terbayang-bayang lagi muka Iadid ketika menerangkan segala-galanya kepada dia semalam. Betapa sayunya hati dia apabila mendengar rintihan hati Iadid.
            Telefon bimbit yang berada di atas meja solek dipandang lama. Patut ke tidak dia menghantar mesej kepada Iadid sekarang ni? Agak-agak Iadid setuju tak nak berjumpa dengan dia. AR bimbang hati Iadid terluka apabila dia tak membalas apa yang diluahkan oleh Iadid semalam.
            Akhirnya dia tekad. Apa nak jadi, jadilah! Dia tetap nak bertemu dengan Iadid dan memohon maaf kerana bersikap kebudak-budakan. Padanlah Encik Hamid risaukan dia! Perangai sebijik macam budak-budak umur 5 tahun. Tak reti nak berfikir dulu sebelum bertindak! Sekarang ni barulah rasa serba tak kena segala!
            Iadid, I need to see you. ASAP. Boleh?
            Laju aje dia menaip sebelum ditekan butang send. Sambil menunggu balasan daripada Iadid, AR mencapai tudung yang tergantung di belakang pintu. Tudung berwarna krim yang Iadid bagi sebagai cenderamata dari Labuan sebelum mereka bergaduh besar hari tu. Sebenarnya, masa dia mula-mula dapat tudung ni, hatinya dah terusik. Dia faham apa yang Iadid cuba sampaikan malah sekeping kad yang mengandungi pesanan daripada Iadid itu cukup menjelaskan segalanya.
            Bila saya nampak tudung ni, terus saya teringatkan awak. Mesti awak lagi cantik.
            AR menarik nafas sebelum membawa tudung tersebut ke dadanya. Nasihat ibunya semalam membuatkan dia berfikir panjang. Sampai bila dia nak terus jadi macam ni? Terus membuka aurat dia dan biarkan abah menanggung dosa.
            Tit! Tit!
            Segera AR membaca mesej Iadid sebelum tersenyum lebar.
            OF COURSE! J Nak jumpa dekat mana?
            Kafe Damia. See you~
            Tudung yang berada di tangan diusap lembut. Masanya dah tiba!


            IADID mengusap kedua-dua belah tapak tangannya sambil menanti AR dengan hati yang berdebar-debar. Bukan main terkejut dia pagi tadi apabila mendapat mesej daripada AR. Rasa macam nak lompat sampai ke bintang pun ada sebab terlampau teruja!
            “Sorry lambat…”
            AR yang muncul di belakangnya membuatkan dia sedikit terperanjat. Laju tangannya mengusap dada dan memandang AR yang ketawa.
            “Sorry buat awak terkejut,” ucap AR perlahan sambil duduk di hadapan Iadid. Iadid pula terkedu tak mampu berkata apa-apa apabila melihat AR di hadapannya sekarang. Sungguh manis wajah itu mengenakan tudung pemberiannya.
            “Iadid?” AR melambai-lambai tangannya di hadapan muka Iadid. Berangan pulak si Iadid ni!
            “Haa… ye?”
            “Awak berangan apa ni?”
            “Awak cantik,” puji Iadid sebelum menggigit bibirnya apabila melihat wajah AR yang berubah menjadi merah.
            “Err… terima kasih.” AR tertunduk malu sebelum memandang Iadid yang kelihatan semakin tenang dan terkawal.
            “So, kenapa awak nak jumpa saya?” Tanya Iadid sambil tersenyum manis.
            AR menarik nafas sebelum menghembusnya perlahan-lahan. “About yesterday. Awak betul-betul maksudkannya?”
            “Awak tak percaya ke?”
            Cepat-cepat AR menggeleng. Dia percaya. Sangat percaya cuma dia ingin meminta kepastian sekali lagi. Dia bimbang jika sebarang keputusan yang diambil selepas ini akan membuat dia menyesal di kemudian hari.
            “Habis tu?”
            “Iadid, kalau awak tak keberatan… boleh tak awak cerita pasal Fitri dekat saya?” Soal AR perlahan. Takut jugak kalau Iadid marah apabila dia bangkitkan pasal hal ni.
            “Awak nak tahu pasal Fitri?”
            AR mengangguk laju.
“Tak jealous?”
Sekali lagi AR mengangguk. Kalau diikutkan, kenapa perlu dia cemburu dengan orang yang dah tak ada dekat dunia ni kan?
Iadid tarik senyuman sebelum berdehem kecil. “Fitri cinta pertama saya. Kami kenal sejak zaman sekolah lagi,” ucapnya dengan tenang sambil memerhati reaksi AR. Bila dia melihat AR kelihatan sangat bersungguh-sungguh untuk mendengar ceritanya, Iadid terus tersenyum sekali lagi.
“Kami memang plan nak kahwin lepas dah habis belajar dan parents kami pun dah setuju tapi beberapa tahun yang lepas, tiba-tiba Fitri jatuh pengsan masa majlis pertunangan kami. Mama saya tak sempat nak sarung cincin pun lagi masa tu. Bila doctor cakap yang dia ada tumor, saya rasa macam ada batu besar kena hempap atas kepala.” Iadid menarik nafas. Sesak dadanya nak bercerita soal ni pada AR yang masih memandangnya dengan sepenuh perhatian.
“Then?”
“Tumor tu dah last stage. Memang selama ni Fitri selalu sakit kepala tapi dia tak sangka yang dia ada penyakit yang bahaya macam tu. Saya tetap nak bertunang dengan dia dan cepatkan tarikh perkahwinan kami tapi dia tolak. Dia cakap tak nak susahkan saya dengan penyakit dia…”
AR memandang Iadid dengan wajah simpati. Pasti tinggi kasih sayang Iadid pada Fitri kan?
“She died a few months later. Dia tinggalkan pesanan supaya saya teruskan hidup and marry the one that I love.” Terus Iadid memandang AR. “And you are the one that I love now, Ad…”
AR terkedu dan terasa pipinya membahang panas. “Dia sangat baik… You’re lucky, Iadid.”
“Ad….”
“Iadid, saya tahu saya salah. Saya tahu yang saya tak sepatutnya marah awak tak tentu pasal hari tu. I’m so sorry…”
Iadid terdiam.
“Kalaulah awak tahu betapa terseksanya hati saya bila saya cakap yang saya tak nak kahwin dengan awak hari tu…” AR meluahkan perasaan tanpa memandang Iadid.
“Ad…”
            “Hmm?”
            “Awak jangan comel sangat boleh tak?”
            Dahi AR berkerut. Jangan comel sangat? Apa maksud Iadid ni?
            “Bila masa saya buat muka comel?” Tanya AR pelik. Makin berkerut-kerut dahi dia sekarang ni. Kalau dahi dia berkedut nanti, sila salahkan Iadid ye!
            Iadid terus ketawa besar. Alahai, kenapalah Ad kesayangan dia ni comel sangat?! Tak sabar-sabar rasanya nak menjadikan Ad isterinya yang sah! Boleh dia memandang wajah comel Ad sepanjang masa.
            “Do you know how much I love you?” Tutur Iadid dengan nada perlahan dan lembut. Terus menyerap masuk ke dalam hati AR dan membuatkan hatinya berbunga-bunga.
            Perlahan-lahan AR mengangguk sebelum tersenyum kecil. “Awak maafkan saya? For being too emotional?”
            “Awak tak buat apa-apa salah. Memang patut saya ceritakan segalanya pada awak. So…”
            “So?”
            “Adnin Rania anak Encik Hamid dah setuju la nak kahwin dengan saya?” soal Iadid sebelum mengenyit mata. Kalut sekejap AR apabila mendengar pertanyaan Iadid. Apa ni? Langsung tak romantik okey melamar macam tu!
            “Tak romantik la!”
            Sekali lagi Iadid ketawa. “Saya takut bila saya romantik nanti, awak cair… Habislah saya nanti kena marah dengan Encik Hamid sebab dah buat anak dia cair…” Melebar senyuman Iadid.
            “Mengada…”
            “Ad…”
            “Ye, Captain Iadid?”
            “Minggu depan saya hantar rombongan ye? Jangan reject tau…” pinta Iadid dengan muka berharap. Kalau boleh, hari ni jugak dia nak hantar rombongan meminang dan esok nikah!
            “Yelah…” AR tersenyum malu.
            “Ad…”
            “Hmm… saya romantik dengan awak lepas kita kahwin ye?”
            AR hanya mengangguk kecil sebelum memalingkan mukanya ke arah lain. Alhamdulillah, lega hatinya apabila hubungan dia dan Iadid sudah kembali seperti biasa.


            “BUKAN main ceria muka anak abah ni?” Tegur Encik Hamid seraya menghampiri AR yang tengah menanggalkan kasut di muka pintu. AR hanya tersenyum simpul sebelum memeluk bahu Encik Hamid.
            “Mestilah…”
            “Tak nak cerita dengan abah?”
            AR tersengih sebelum menari riang di hadapan Encik Hamid. “Minggu depan Iadid nak hantar rombongan meminang…”
            “Iadid? Ad dah baik dengan dia?”
            Laju AR mengangguk. “Dah… Semuanya dah settle! Lagipun Ad dah tahu kisah sebenarnya,” ucap AR sambil tersenyum. Bahagia betul hatinya sekarang ni.
            Encik Hamid tersenyum sebelum mengusap kepala AR. Senang hati apabila melihat anak daranya ini ceria dan tak sedih-sedih macam beberapa hari yang lepas. Pandai jugak Iadid melembutkan hati AR yang keras ni. Satu point lagi untuk menjadikan Iadid sebagai calon menantu yang paling sesuai.
            “Nanti suruh Iadid datang jumpa abah dulu before hantar rombongan meminang tu ye…”
            AR terus memandang Encik Hamid. “Kenapa abah?” Tanyanya cemas. Bimbang jugak kalau abah menolak Iadid.
            “Amboi… risau sangat ye,” usik Encik Hamid sambil ketawa. Memang dia boleh nampak betapa anaknya menyayangi Iadid.
            “Abah…”
            “Jangan risaulah. Abah tak buat apa-apa dekat dia. Cuma nak sembang-sembang je.” Encik Hamid kenyit mata sebelum berlalu naik ke tingkat atas dan meninggalkan AR yang bingung. Apalah agaknya abah nak cakap dengan Iadid aku tu? Eh, belum kahwin AR… Belum jadi Iadid kau lagi.


           
           

             p/s : Assalamualaikum semua! :) Alhamdulillah dapat jugak sambung MYD. Heee.. enjoy! Dan maaf kalau ada banyak kekurangan. Btw, jangan lupa dapatkan novel-novel daripada penulis-penulis MYD. Ayumi - Kau Pemilik Hati (Kaki Novel), Kak Yus - Biar Cinta Bertaburan (Kaki Novel), Kak Rinsya @ Aireen - Lelaki Versi Dia yang boleh ditempah secara online sekarang ni (Kaki Novel), dan saya - Kafe Damia yang akan keluar bulan depan (Jemari Seni). Terima kasih di atas sokongan anda semua :) Pass baton dekat Kak Rin.
           




Saturday, 15 December 2012

- Marry Your Daughter 11 -

MYD 11 - Ayumi punya version.




SAMPAI di rumah, AR terus masuk ke dalam. Penat yang amat tapi dia tetap bawa langkah masuk ke dapur. Ibu sedang memasukkan barang-barang dari plastik ke dalam peti sejuk dan kabinet dapur. AR mendekati seraya menghulur tangan untuk bersalam.
            “Baru balik?”
            AR angguk. “Ibu nak buat apa barang banyak-banyak ni?”
            “Abah Ad nak buat jamuan sikit katanya. Jamuan ringan sekali dengan panggil orang datang buat solat hajat kat rumah kita ni. Dia cakap nak jemput kawan-kawan tentera dia tu. Ni barang-barang ibu beli nak masak untuk jamuan tulah,” jelas Puan Masitah.
            “Ohh...” AR terangguk-angguk. Memang tak peliklah kalau abah yang plan nak buat jamuan tu. Memang biasanya sekali setahun, wajib untuk abah buat solat hajat berjemaah kat rumah ni. Tapi biasanya jemput saudara-mara terdekat dan juga jemaah masjid, mungkin tahun ini berlainan sikit sebab Encik Hamid jemput sekali rakan-rakan tenteranya. Agak-agak, Iadid ada tak?
            Okey, lupakan.
            “Ad dah solat Asar?” Puan Masitah bertanya sambil menoleh ke arah anak gadisnya itu.
            AR menggeleng. Riak mukanya nampak penat.
            “Pergi mandi, lepas tu solat. Nanti turun bawah tolong ibu masak untuk makan malam ni,” suruh Puan Masitah. Tangannya mencapai kuali yang tersangkut di tepi singki.
            AR mengangguk. Terus dia berlalu naik ke tingkat atas. Masuk ke bilik, telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangan sambil duduk di atas katil. 20 missed calls daripada Iadid. AR hembus nafas panjang. Dari pagi tadi, tak berhenti-henti Iadid telefon dia. Dalam sejam, mesti ada dua atau tiga kali Iadid telefon. Pelik sungguh, tak kerja ke mamat tu? Agaknya hari ni free kut, itu yang terlebih rajin asyik telefon aje kerjanya. AR tak pula matikan telefon bimbit, tapi memilih untuk silentkan telefon bimbitnya tu. Saja nak mendera Iadid.
            Kejam? Mungkin. AR angkat bahu sebelum bangkit menuju ke bilik mandi.


BERKALI-KALI tudung di kepala dibetulkan, tetap tak menjadi juga. AR merengus geram. Apalah susah sangat nak pakai tudung ni? Bukanlah dia tak pernah pakai tudung langsung. Pernah masa sekolah dulu tapi tak tahu kenapa kali ni susah sangat. Agaknya sebab dah lama tak pakai kut?
            Sedang terkial-kial mengemaskan pin pada tudungnya, pintu bilik terkuak. AR menoleh ke muka pintu. Ibu masuk dengan senyuman manis.
            “Dah siap ke? Tetamu dah ada yang datang tu. Nanti tolong ibu hidangkan makanan atas meja,” kata Puan Masitah sambil menghampiri anak gadisnya itu.
            “Belumlah, bu. Susah sangat nak pakai tudung ni. Kalau macam ni Ad tak payah pakai tudunglah!” rungut AR geram.
            “Eh, kenapa cakap macam tu? Tak elok, Ad...” tegur Puan Masitah. Tudung yang masih terletak di atas kepala AR dipegang. Kemudian dibetulkan perlahan-lahan sambil berkata, “Ibu suka tengok Ad pakai tudung. Cantik...”
            AR diam. Hanya menunggu sampai ibu selesai memakaikan tudung untuknya.
            “Ad tahu tak, bertudung tu wajib?” Perlahan Puan Masitah bertanya. Nadanya lembut sekali.
            AR masih tetap diam. Matanya terkebil-kebil merenung ibu.
            “Dulu masa Ad sekolah lagi, ibu dah pernah pesan, jangan buka aurat walau apa pun yang jadi. Tapi mungkin Ad lupa pesanan ibu. Tak apa, ibu tak salahkan Ad. Mungkin salah ibu sebab tak tegas tegur Ad sejak mula lagi...”
            AR terus diam mendengar. Anak matanya kini jatuh merenung lantai.
            “Ad nak dengar satu cerita?” tanya Puan Masitah. Tangannya masih membetul-betulkan tudung di kepala AR.
            AR tak menjawab.
            “Pada satu hari, ada seorang pelajar perempuan datang lambat ke kelas. Pensyarah dia tak bagi dia masuk kelas sebab memang dah tertulis dalam undang-undang, pelajar yang datang lambat tak dibenarkan masuk kelas. Pelajar tu marah-marah dengan pensyarah tu sebab tak patut dia tak dibenarkan masuk. Dia cakap, dia bayar yuran mahal-mahal untuk datang belajar tapi kenapa dia tak dibenarkan masuk? Ad tahu pensyarah tu jawab apa?”
            AR menggeleng.
            “Pensyarah tu cakap, kalau tak nak ikut undang-undang, berhenti belajar di kolej tu dan cari kolej lain yang tak ada undang-undang. Dengan cara tu, pelajar tu boleh buat apa aje yang dia suka, tak payah takut kalau ada orang lain marah. Hidup sendiri, tak ada orang peduli, kan ke macam tu lagi senang?”
            AR masih tekun mendengar.
            “Samalah juga dengan Islam. Allah dah tetapkan undang-undang untuk kita ikut. Kalau Dia kata kita wajib tutup aurat, maknanya kita wajib tutup walau apa pun yang jadi. Kalau kita tak nak ikut suruhan Dia, baiklah kita cari dunia yang tak ada Tuhan, tak ada Pencipta dan hidup untuk diri kita sendiri aje. Ad nak tak hidup tanpa Tuhan? Tanpa ada orang yang perhatikan kita siang malam? Yang kabulkan doa kita? Yang beri apa saja yang kita minta tanpa ada hadnya?”
            AR menunduk. Kolam matanya berkaca tiba-tiba. Betapa selama ini dia memandang ringan soal aurat seorang Muslimah. Ya Allah, kenapa aku jadi begini? Di mana ajaran ibu selama ini? Kenapa aku alpa dengan semuanya?
            Puan Masitah mengemaskan pin pada tudung AR. Sempurna. “Dah, cantik anak ibu pakai tudung,” pujinya.
            AR masih tak menjawab. Spontan dia memeluk ibu erat-erat.
            Puan Masitah tersenyum. Moga-moga terkesan di hati AR apa yang telah diberitahunya tadi. “Nanti turun ya, kita solat isyak dan hajat sama-sama kat bawah, lepas tu tolong ibu hidang makanan,” pesannya sebelum berlalu keluar.
            AR pandang wajahnya di cermin. Ciptaan Allah itu semuanya cantik. Tapi pasti lebih cantik andainya ciptaannya itu ditutupi dan dilindungi hanya untuk tatapan yang halal sahaja. AR menyapu air jernih di birai matanya.


SUNGGUH AR tak tahu-menahu Iadid yang akan jadi imam malam itu. Di ruang tamu yang sudah dikosongkan, para jemaah mendirikan saf. Jemaah lelaki di bahagian depan, jemaah perempuan di bahagian belakang dengan dipisahkan dalam beberapa jarak.
Ketika terdengar suara lelaki itu melaungkan azan isyak, hati AR tersentuh. Dalamnya terasa. Apatah lagi ketika Iadid melaungkan bacaan surah-surah di dalam solat. Sambil berusaha untuk khusyuk dalam setiap rakaat yang dilakukan, AR tak dapat menafikan perasaannya malam itu. Lain daripada biasa. Sungguh. Tak pernah dia merasakan perasaan itu sebelum ini. Hati yang keras bagaikan mencair dengan sendirinya, hanya dengan mendengar alunan suara Iadid melagukan ayat-ayat suci Al-Quran.
Selesai solat isyak dan juga solat hajat, AR menyambut huluran tangan para jemaah wanita. Kemudian cepat-cepat dia membawa diri naik ke tingkat atas. Di dalam bilik, duduk bersendirian di atas katil, otaknya masih belum mampu berhenti berfikir tentang Iadid.
Kenapa selama ini dia perlu menilai Iadid dari segi kasih sayang yang terbahagi buat dia dan Fitri sedangkan iman di hati lelaki itu lebih penting? Kenapa perlu dia pertikaikan masa silam Iadid sedangkan lelaki itu sudah berubah ke arah yang lebih baik sekarang? Kenapa perlu dia memandang Iadid melalui kisah cinta lamanya berbanding cintanya yang lebih kuat dan utuh untuk Dia Yang Maha Esa?
Tak sempat ditahan, setitis demi setitis air matanya gugur ke pipi. Ya, Adnin Rania anak Encik Hamid yang selama ini tak suka menangis, degil, nampak aje manja tapi hati keras yang amat, menitiskan air mata. Bukan kerana seorang lelaki, tetapi kerana penyesalan. Penyesalan kerana melebihkan sesuatu yang tidak penting daripada yang telah Allah syariatkan dalam memilih pasangan hidup.
Ya Allah...


PINGGAN-PINGGAN yang sudah siap dibasuh diambil dan dilap satu-persatu dengan kain di tangan. Ramai rakan-rakan sekerja Encik Hamid yang datang malam ini tapi tak semua dapat hadir sebab terikat dengan jadual kerja. Nun di depan pintu, Iadid sedang berbual dengan Encik Hamid. AR sedar berkali-kali anak mata lelaki itu singgah di wajahnya tapi dia buat-buat tak tahu aje. Cool, Ad... cool...
            Nampak cool, sedangkan di hati Allah aje yang tahu. Kalau ikut hati, nak aje dia pergi jumpa Iadid dan bagitahu, “Iadid Arsyad, saya dah maafkan awak. Jom kita kahwin?”
            Itu kerja gila. AR geleng kepala laju-laju.
            “Kenapa, Ad?”
            Sapaan itu memeranjatkan AR. Mujur tak terlepas pinggan kaca di tangan. “Ya, abah. Eh, apa abah cakap?” Gelabah.
            Encik Hamid simpan senyum. “Iadid nak jumpa Ad kejap. Ada benda dia nak cakap dengan Ad.”
            Eh? Baru aje terfikir nak jumpa mamat tu face to face malam ni, dia dah mula dulu. Berani betul minta izin abah. Dan semudah itu abah izinkan?
            “Kejap aje, jangan lama-lama. Abah tengok dari sini,” tambah Encik Hamid.
            AR angguk. Abah tetap abah. Pinggan di tangan diletakkan di atas meja. Kemudian perlahan-lahan dihampiri Iadid yang masih setia menunggu di tepi pintu rumah. “Ehem.” Deham sekali. AR buat-buat muka tak ada perasaan. Sesekali tangannya membetulkan tudung walhal tak ada cacat celanya langsung.
            Encik Hamid ambil alih tugas AR mengelap pinggan sambil anak matanya tak lepas-lepas memerhatikan anak gadisnya itu dengan Iadid.
            “Ehem...” Iadid juga pura-pura berdeham. Tiba-tiba jadi kekok. Tadi bukan main confident lagi, siap mintak Encik Hamid jadi orang tengah. Agaknya sebab AR cantik sangat kut malam ni?
            “Cantik awak pakai tudung.” Terlepas pujian itu dari bibir Iadid. Dikerling wajah AR dengan ekor mata.
            Kembang hati AR mendengar pujian itu. Walaupun muka Iadid tak dipandang, tapi dia tahu lelaki itu ikhlas hanya dengan mendengar nada suaranya.
            “Ad...” panggil Iadid perlahan.
            AR pandang luar rumah.
            “Saya tahu awak masih marah saya pasal hal tu. Saya...” Iadid tunduk bawah.
            AR diam menanti kata-kata seterusnya. Memang hati dia dah makin cair, tapi malu nak tunjuk direct depan Iadid.
            “Saya mintak maaf lagi sekali. Saya memang tak berniat nak tipu awak. Kisah silam saya, kisah cinta lama saya, saya tak nak kenang lagi. Itu semua cerita lama. Saya tak ceritakan pada awak sebab saya nekad nak mulakan kisah baru dengan awak. Kisah cuma ada awak dan saya.” Tenang Iadid menyusun kata. Tapi AR tak tahu dah sehari suntuk hari ni dia menghafal ayat-ayat tu. Bukan sekadar nak ambil hati, tapi memang ikhlas dari lubuk jiwa.
            Sekali lagi hati AR rasa pilu. Kenapa cepat sangat dia tersentuh malam ni? Pertama, masa dengar nasihat ibu. Kedua, masa solat dan Iadid jadi imam. Ketiga, waktu ini, situasi ini, berdepan dengan Iadid yang tiba-tiba bertukar jadi mat jiwang. Tapi AR suka. Eh eh...
            “Mungkin awak takkan faham apa yang saya rasa. Tapi Ad... saya janji, saya takkan berhenti sampai awak maafkan saya. Fitri masa silam saya dan awak masa depan saya.”
            Okey, air mata dah nak jatuh. Cepat-cepat AR pusingkan tubuh menghadap pintu sambil tangan kiri mengesat air itu. Tak mau Iadid nampak. Touching woo...
            Iadid tak cakap apa-apa lagi. Dia berlalu mendapatkan Encik Hamid. Selepas menyalami orang tua itu, dia terus meminta diri untuk pulang. Ketika berselisih dengan AR di muka pintu rumah, hanya senyuman manis dihulurkan buat gadis itu.
            Hati AR tersentuh lagi. Ditahan sekuat hati untuk tak menangis. Tidak di depan abah, apatah lagi di depan Iadid.
            Di dalam kereta, Iadid memandu sambil berkhayal melayan lagu yang diputarkan di corong radio.

Aku bertahan di sisimu demi cinta
Takkan kutinggalkan dirimu kerana cinta
Tak mudah untuk dimengerti
Dan mungkin memang tak perlu dimengerti...

            ‘Fitri masa silam, AR masa depan,’ bisik hati Iadid.


***********************************************

Okeh! Akhirnya berjaya jugak daku menyambung MYD ni. Thanks a lot untuk Kak Yus sebab dah susah2 bukak ruang untuk saya sambung cerita ni. And finally, dah terpost di sini dengan selamat. Hope uolls suka dengan entri ni. Ni aje yang termampu, harapnya semua puas hati. Nak lebih lagi, mintak dengan Cik Moon.

Okey Moon, dah tak susah sangat ni kot. KOT laa kan. Good luck untuk MYD 12! :)

~bersambung~